Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Semua aktiviti dalam hutan simpan kekal masih dilarang

SHAH ALAM, 14 SEPT: Taman Eko Rimba, Denai dan Jalur Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) masih ditutup dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa dua.

Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) memaklumkan semua operasi dan aktiviti di kawasan terbabit tidak dibenarkan buat masa ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi notis pemberitahuan yang dikeluarkan jabatan berkenaan pada 11 September.

Semalam, tular video dipercayai di kawasan Air Terjun Sungai Pisang di Ulu Gombak sesak dengan kehadiran orang ramai yang didakwa tidak mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

Sementara itu, memetik laporan Kosmo hari ini, JPNS menegaskan tiada sebarang kelulusan permit aktiviti diberikan di Taman Eko Rimba, Denai dan Jalur Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) semasa fasa dua PPN.

Pengarahnya Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata pihaknya telah menutup laluan masuk ke kawasan terbabit.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada fasa dua PPN berkuat kuasa 10 September lalu.

Peralihan itu memberi kelonggaran kepada penduduk lengkap vaksin termasuk kebenaran merentas daerah.