Categories
ADN SELANGOR

Sukarelawan Sungai Kandis edar 1,000 pek sarapan buat remaja divaksin

KLANG, 30 SEPT: Sebanyak 1,000 pek sarapan diedar Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) kepada remaja yang menerima vaksin di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di sini, pagi tadi.

Inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi memastikan golongan itu termasuk ibu bapa mengalas perut sementara menunggu giliran suntikan, kata wakil rakyatnya.

“Hari ini seramai 10 sukarelawan terlibat mengedar 1,000 sarapan pagi yang mengandungi air serta roti kepada pelajar dan ibu bapa,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditemui.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan talian khas bagi memudahkan penduduk berhubung dengan Suka untuk mendapatkan bantuan kesihatan khususnya berkaitan Covid-19.

“Khas bagi penduduk Sungai Kandis boleh hubungi 013-2349349 untuk mendapatkan bantuan sama ada memperoleh kit ujian kendiri dan penghantaran ke pusat kuarantin,” katanya.

Pada 5 Ogos, Kerajaan Negeri menubuhkan Suka untuk menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutama berkaitan pandemik Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyertaan terbuka kepada warganegara yang menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Sukarelawan terpilih akan dilatih modul bertemakan Covid-19 sebelum digerakkan ke seluruh 56 DUN.