Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri titah rakyat bersatu, rai kepelbagaian

SHAH ALAM, 16 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru rakyat negeri ini terus bersatu padu ke arah membina negara bangsa yang maju.

Dalam titah sempena Hari Malaysia, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mahu rakyat tanpa mengenal agama dan kaum hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Titah Baginda berdua disiarkan melalui Facebook Selangor Royal Office petang ini.

“Titah Baginda, sekiranya rakyat terus meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan persefahaman, Malaysia akan mampu menempuhi apa jua masalah dan dugaan yang mendatang,” kata kenyataan itu.

Baginda berdua juga mahu setiap individu berusaha menyemai semangat patriotisme dan merasa bangga menjadi rakyat negara Malaysia yang tercinta.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.