Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak kira fasa PPN, siswa lengkap vaksin kembali ke kampus mulai 15 Oktober

SHAH ALAM, 14 SEPT: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang lengkap dos vaksin dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan selain staf akademik dan bukan akademik yang melepasi tempoh keberkesanan vaksin.

“Saya ingin maklumkan hanya pelajar, staf akademik dan bukan akademik yang lengkap dos vaksin serta melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja dibenarkan masuk ke kampus.

“Perkara ini tertakluk kepada kapasiti IPT dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi membentuk persekitaran yang selamat dan kelompok imuniti di kampus,” katanya dalam sidang media hari ini.

Noraini berkata pelajar yang tidak boleh divaksin atas faktor kesihatan perlu menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.

Sementara itu, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang giat melaksanakan VACC2Campus untuk meningkatkan jumlah vaksinasi warga IPT.

“KPT mengunjurkan 100 peratus kakitangan dan pelajar IPT yang boleh divaksin dan mendaftar dengan MySejahtera akan menerima suntikan lengkap menjelang hujung Oktober.

“Sehingga kini, sebanyak 66 peratus pelajar dan 90 peratus kakitangan IPT telah lengkap divaksin. Saya menyeru mereka yang belum mendapat vaksin segera berbuat demikian,” katanya lagi.

Noraini turut menerangkan pergerakan pelajar kembali ke kampus berdasarkan perkara berikut:

  • Hanya surat kebenaran kembali ke kampus daripada IPT diperlukan bagi Semenanjung
  • IPT di Sarawak, Sabah dan Labuan tertakluk SOP dikuatkuasakan Kerajaan Negeri masing-masing. Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah/negeri daripada polis dan menjalani ujian Covid-19 di klinik kesihatan kerajaan