Categories
AGENDA NASIONAL

Tubuh majlis tindakan khas, rangka rancangan pendidikan pasca Covid-19

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kerajaan dicadang menubuhkan majlis tindakan khas yang berperanan merangka rancangan pendidikan untuk pasca Covid-19.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata pasukan itu harus dianggotai tokoh berpengalaman dan pakar dalam bidang pendidikan, teknologi dan ekonomi.

Beliau yang juga bekas menteri pendidikan menggesa kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kecerdasan buatan (AI) dan data raya dalam memulihkan semula sektor pelajaran yang terjejas teruk akibat penularan wabak.

“Bagi mengembalikan kecemerlangan pengajian tinggi pula, pengurusannya harus diletak di bawah ahli akademik dan profesional tanpa campur tangan agenda politik.

“Ini boleh dilakukan melalui Majlis Pendidikan Tinggi Negara selaras Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996, pasukan berkenaan ditubuh semula pada 2019 namun nampak terbantut bila perubahan kerajaan,” kata wakil rakyat Bebas itu ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr Maszlee turut membangkitkan usaha memartabatkan bahasa Melayu yang dilihat semakin pudar sepanjang 18 bulan pemerintahan Perikatan Nasional dan kini kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya hendak tanya apa berlaku kepada Dekad Bahasa Kebangsaan yang dilancar pada 2019? Kita hendak bertanya juga di mana taring Dewan Bahasa dan Pustaka?.

“Bagaimana nasib sasterawan? Apakah sumbangan kepada mereka secara bulanan tetap diberi? Bagaimana program mereka di universiti dan adakah karya mereka dicetak dalam edisi mampu milik?,” katanya.