Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang duit, keperluan harian kepada mangsa tanah runtuh

SHAH ALAM, 19 SEPT : Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyantuni dua keluarga yang terkesan dalam kejadian tanah runtuh di Blok J Rumah Pangsa Sri Chempaka, Sri Damansara.

Agensi itu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya diwakili Eksekutif Kebajikan Muhammad Zubair Azizian menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada mangsa.

“Dua keluarga ini terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka yang terletak di tingkat bawah flat itu mengalami sedikit kemusnahan dan tidak selamat didiami.

“Bagaimanapun, penghuni lain masih dibenarkan tinggal di rumah masing-masing selepas pihak bomba mengesahkan flat itu masih selamat untuk diduduki,” menurut kenyataan semalam.

Yide turut mengalu-alukan orang ramai memberi maklumat berkaitan musibah, malapetaka atau bencana alam dengan menghubungi eksekutif kebajikannya menerusi talian 017-7569476.

Pada Rabu, berlaku kejadian runtuhan tebing dan tanah di Blok J, Rumah Pangsa Sri Cempaka kira-kira jam 4.45 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.