Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 peratus remaja Sekinchan capai vaksin penuh hujung Oktober

SHAH ALAM, 3 OKT: Golongan remaja di Sekinchan dijangka mencapai 100 peratus vaksin lengkap dua dos menjelang akhir bulan ini, kata wakil rakyatnya.

Ng Suee Lim berkata ketika ini program pemberian suntikan pelalian Covid-19 terhadap individu berusia 12 hingga 17 tahun giat dijalankan bagi mencapai sasaran tersebut.

“Kita bekerjasama erat dengan pejabat kesihatan daerah (PKD) Sabak Bernam untuk memberi suntikan kepada golongan berkenaan mengambil kira sesi persekolahan secara bersemuka hampir tiba.

“Justeru, melihat kepada perkembangan ini saya percaya keseluruhan remaja di Sekinchan selesai mendapat dua dos vaksin pada hujung Oktober,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin memaklumkan KKM juga menjangkakan 60 peratus daripada remaja mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Mengulas lanjut, Suee Lim yang juga speaker Dewan Negeri Selangor berkata lebih 90 peratus penduduk dewasa termasuk warga asing di kawasan itu lengkap menerima dos pelalian setakat ini.

Menurutnya, perkembangan tersebut didorong pelaksanaan berterusan program jangkauan luar (outreach) vaksinasi Covid-19 dengan kerjasama pejabat kesihatan berkenaan.