Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

1,000 petani terima data internet percuma mulai minggu ini

TANJONG KARANG, 19 OKT: Kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dilengkapi internet percuma selama setahun diagih kepada warga tani seluruh negeri mulai minggu ini.

Seramai 1,000 warga tani akan menerima data internet 45 gigabit (gb) setiap bulan daripada 2,000 yang disasarkan, kata EXCO pertanian dan industri asas tani.

“Kita ada kuota 2,000 tetapi hanya 1,000 permohonan diterima. Mungkin mereka ingat warga tani itu untuk pertanian sahaja padahal ia juga melibatkan penternakan, perikanan dan industri makanan.

“Bagaimanapun, banyak permohonan diterima daripada warga tani di kawasan Utara Selangor. Baki kuota mungkin akan diserahkan semula kepada bahagian lain,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan bantuan Pakej Kita Selangor 2.0 kepada kebun komuniti di Dewan Terbuka Taman Sri Setia di sini semalam.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 70,000 rakyat Selangor akan menerima kad SIM dilengkapi internet percuma selama 12 bulan.

Beliau menjelaskan inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.