Categories
AGENDA NASIONAL

16 penduduk terperangkap banjir di Pokok Sena diselamatkan

ALOR SETAR, 31 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berjaya menyelamatkan 16 penduduk daripada tiga keluarga di Kampung Kotan, Pokok Sena dekat sini, yang terperangkap di dalam rumah masing-masing susulan kejadian banjir petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata anggota JBPM dari balai Pokok Sena dan Alor Setar bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan sebuah bot, sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 5.34 petang.

“Kesemua mangsa dilaporkan terperangkap di dalam tiga rumah. Paras air ketika kejadian adalah setinggi dua meter dan bot digunakan bagi memindahkan mangsa yang berada di bahagian tingkat atas rumah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata mangsa yang terperangkap terdiri daripada enam lelaki, lima wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan itu dipindahkan sementara ke rumah saudara-mara mereka yang berhampiran.

Mohamadul Ehsan berkata setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka secara rasmi di Pokok Sena.

Sementara itu Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah memaklumkan PPS akan dibuka sekiranya air belum surut dan mengikut keadaan cuaca dengan kini pihaknya masih meneruskan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA