Categories
AGENDA NASIONAL

250 permohonan I-SEED dilulus melibatkan dana RM1 juta

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak 250 permohonan untuk menyertai program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) diluluskan setakat ini, kata EXCO pembangunan sosio ekonomi.

V Ganabatirau berkata sejumlah RM1 juta diperuntuk untuk menjayakan inisiatif itu yang disalurkan terus kepada penerima tanpa melalui orang tengah atau lantikan syarikat.

“Secara keseluruhan lebih 370 permohonan diterima dan kita akan menilai kelayakan baki permohonan dari semasa ke semasa.

“Permohonan boleh dibuat menerusi ketua komuniti atau ketua kampung masing-masing. Mesyuarat bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan menilai dan meluluskan pemohon yang layak,” katanya.

Terdahulu, Ganabatirau menyerahkan sumbangan bekas menyimpan peralatan bengkel kepada penerima M Batumalai di Bukit Kemuning hari ini.

Sementara itu,  M.Batumalai,68, berkata dia bersyukur menerima sumbangan Kerajaan Negeri yang memudahkan kerja membaiki kenderaan.

“Saya berharap bantuan ini dapat memajukan lagi perniagaan yang diusahakan bersama isterinya.

“Sekiranya ingin membeli bekas menyimpan peralatan ini memerlukan kos hampir RM500 tidak termasuk troli. Bantuan yang diterima dapat menjimatkan kos perbelanjaan,” katanya.