Categories
ADN SELANGOR

350 keluarga India di Balakong terima bakul makanan sempena Deepavali

KAJANG, 26 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong membelanjakan RM52,500 untuk edaran bakul makanan kepada masyarakat India sempena Deepavali awal November ini.

Wakil rakyatnya berkata bantuan beras, tepung gandum, minyak masak, gula, telur, biskut dan bahan masakan makanan tradisional India memanfaatkan 350 keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Pek bernilai RM150 setiap satu mula diagih hari ini dan dijangka selesai dalam tempoh tiga hari. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban sekali gus memberi keceriaan kepada mereka dalam menyambut Deepavali,” kata Wong Siew Kii.

Beliau berkata demikian pada program penyerahan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 46 penerima di pusat khidmat masyarakatnya di sini hari ini.

Siew Kii turut menasihati penganut Hindu negeri ini agar mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) semasa merayakan sambutan berkenaan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Di sebalik kegembiraan menyambut pesta cahaya, jangan sesekali kita abai SOP kerana wabak masih ada di sekeliling. Kita perlu bersama-sama jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya.