Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

3,800 baucar pelancongan negeri ditebus hanya dalam dua hari

SHAH ALAM, 23 OKT: Sebanyak 3,800 baucar pelancongan Selangor 2.0 ditebus melalui aplikasi Shopee setakat malam ini selepas dibuka kepada umum mulai semalam.

Menyifatkan sambutan diterima memberangsangkan, ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata baucar bernilai RM100 boleh ditebus sehingga hujung tahun ini.

“Kita yakin ramai menunggu baucar ini kembali semula…Jom tebus sekarang dan pada masa sama membantu merancakkan sektor pelancongan Selangor,” kata Azrul Shah Mohamad.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika bercuti atau beriadah bersama keluarga.

Sebanyak 10,000 baucar pelancongan ditawarkan untuk membeli lebih 170 pakej melalui 35 agensi. Pembelian terhad untuk satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.

Inisiatif bernilai RM2.55 juta itu sebahagian tawaran dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dilancarkan EXCO Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.

Maklumat lanjut program boleh didapati dengan melayari pautan selangor.travel.