Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

50 peratus pelajar Kuis dijangka kembali ke kampus awal November

SHAH ALAM, 3 OKT: Sebanyak 50 peratus daripada kira-kira 7,000 penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dijangka kembali ke kampus bagi mengikuti pengajian secara bersemuka bermula awal November ini.

Pendaftarnya Zulhizzam Hamzah berkata mereka terdiri pelajar semester pertama, tahun akhir dan berkeperluan khas yang memenuhi tempoh matang 14 hari selepas dos kedua vaksin.

“Kita sudah bersedia menerima kemasukan mereka. Pelajar asasi akan memulakan pengajian secara fizikal pada 1 November manakala diploma hingga ijazah kedoktoran (PhD) pada 29 November.

“Kolej kediaman sudah disanitasi, meja dalam bilik kuliah disusun mengikut penjarakan fizikal termasuk menyediakan pusat kuarantin untuk pelajar tidak sihat,” kata ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu sistem pengajaran dan pembelajaran sepanjang pandemik Covid-19.

“Kuis melaksanakan kaedah pembelajaran secara hibrid, sesetengah program dibuat secara bersemuka dan dalam talian. Ini suasana baharu bukan sahaja kepada mereka (pelajar) tetapi pensyarah,” katanya.

Pada 14 September lalu, menteri pengajian tinggi memaklumkan lebih 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober ini.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar yang lengkap divaksin itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua fasa pelan pemulihan negara (PPN), namun keutamaan diberi kepada pelajar berkeperluan.