Categories
AGENDA NASIONAL

5,726 kes baharu Covid-19, lebih 5,000 pesakit sembuh

SHAH ALAM, 26 OKT: Sebanyak 5,726 kes baharu Covid-19 direkodkan dan 5,607 pesakit sembuh dalam tempoh 24 jam lalu, menurut ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan memaklumkan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2,442,224 setakat ini.

“Terdapat 598 pesakit berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 512 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan 86 lagi disyaki dijangkiti virus itu.

“Daripada jumlah itu 308 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, dengan 219 pesakit disahkan positif Covid-19 dan selebihnya 89 orang masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 5,711 kes adalah penularan tempatan iaitu 5,489 warganegara (96.1 peratus) dan 222 bukan warganegara (3.9 peratus) manakala 15 lagi kes import membabitkan sembilan rakyat Malaysia dan enam warga asing.

Selain itu katanya daripada jumlah kes harian dilaporkan, sebanyak 97 kes atau 1.7 peratus adalah kategori tiga, empat, dan lima; manakala 5,629 kes atau 98.3 peratus lagi kategori satu dan dua.

Lima daripada tujuh kluster yang dikesan hari ini membabitkan tempat kerja dan masing-masing satu kluster komuniti dan pendidikan tinggi.