Categories
AGENDA NASIONAL

6,637 kes sembuh Covid-19, atasi kes baharu

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak 6,637 kes sembuh daripada COVID-19 dilapor di Malaysia hari ini, mengatasi angka harian kes baharu yang merekodkan 6,377 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih COVID-19 kini 2,354,622 manakala kumulatif kes baharu adalah 2,454,749 kes.

Beliau berkata lapan kluster baharu pula direkodkan hari ini dengan lima kes melibatkan kluster tempat kerja dan masing-masing satu kes melibatkan kluster kumpulan berisiko tinggi, komuniti dan institusi pendidikan.

“Daripada 6,377 kes harian dilapor hari ini, 101 kes atau 1.6 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 6,276 kes atau 98.4 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Selain itu, 32 kes melibatkan kes import terdiri daripada 20 warganegara dan 12 bukan warganegara manakala kes tempatan ialah 6,345 dengan 6,011 daripadanya warganegara dan 334 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan sejumlah 564 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 294 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya kadar kebolehjangkitan atau Rt seluruh negara hari ini ialah 0.94 dengan Negeri Sembilan mencatat kadar Rt paling tinggi iaitu 1.02 manakala Labuan satu-satunya kawasan mencatatkan kadar kebolehjangkitan sifar.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 dalam negara akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dengan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

— BERNAMA