Categories
AGENDA NASIONAL

8,000 mahasiswa Unisel kembali ke kampus mulai 17 November

SHAH ALAM, 7 OKT: Sejumlah 8,000 penuntut Universiti Selangor (Unisel) akan kembali ke kampus bagi mengikuti pengajian secara bersemuka mulai 17 November ini, maklum pengarah pejabat pemasaran dan kemasukan.

Prof Madya Dr Hashimah Ismail berkata bilangan itu termasuk mahasiswa baharu yang mendaftar bagi kemasukan November untuk semua peringkat pengajian di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya.

“Dengan sasaran negara beralih ke fasa endemik pada penghujung Oktober, tiada sebab untuk tidak mengarahkan pelajar masuk semula ke kelas meneruskan pembelajaran seperti biasa.

“Pihak pengurusan tidak sabar meraikan pelajar lama dan baharu, ramai kalangan mereka yang sudah jemu belajar dalam talian sepanjang pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) khusus akan diperincikan kepada pelajar antaranya pendaftaran kursus, asrama dan minggu tekad siswa bagi mahasiswa baharu.

“Kerja sanitasi pula akan dibuat menjelang pembukaan semula kampus selain menyediakan pengimbas suhu di setiap bilik kuliah dan asrama.

“Kita turut merancang untuk memberi suntikan vaksin kepada mana-mana pelajar yang belum berbuat demikian demi menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Pada 14 September, menteri pengajian tinggi memaklumkan lebih 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober ini.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar yang lengkap divaksin itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua fasa pelan pemulihan negara (PPN), namun keutamaan diberi kepada pelajar berkeperluan.