Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Selangor semakin pulih, jumlah mangsa menurun

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Keadaan banjir di Melaka, Selangor dan Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa serta pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir pagi ini terus menurun kepada 550 mangsa daripada 145 keluarga setakat pukul 8 pagi berbanding 849 mangsa daripada 215 keluarga, pada 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata tiga PPS di Melaka Tengah ditutup pada pukul 9 malam tadi, membabitkan pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam 2, SK Taman Merdeka dan SK Krubong.

Beliau berkata jumlah mangsa di Melaka Tengah ialah seramai 260 mangsa daripada 59 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

“Di Alor Gajah seramai 92 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu SK Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang.

“Sementara itu, 198 mangsa daripada 56 keluarga di Jasin ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Di SELANGOR, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan setakat 8.14 pagi tadi, enam PPS di Sepang masih dibuka yang dihuni 219 mangsa daripada 54 keluarga.

Pusat pemindahan tersebut adalah Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato Ahmad Razali yang melibatkan 60 orang; SRA Kampung Giching (56 mangsa); SRA Kampung Labu Lanjut (51 mangsa); SRA Dengkil (44 mangsa); Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Labu Lanjut (tujuh mangsa) dan Balai MPKK Kampung Giching yang menempatkan seorang mangsa banjir.

Di PERAK, terdapat 18 mangsa banjir daripada enam keluarga dari dua kampung ditempatkan di dua PPS sejak tempat tinggal mereka dinaiki air pada Rabu.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, mereka membabitkan sejumlah lapan lelaki dan 10 perempuan dari Kampung Sungai Temelok, Trong, Taiping dan Kampung Sungai Rentaka, Matang yang ditempatkan di pusat pemindahan SK Temelok dan SK Matang.

– BERNAMA