Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Selangor semakin pulih, jumlah mangsa di Melaka meningkat

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Jumlah mangsa banjir di Melaka terus meningkat pagi ini manakala keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Selangor pula semakin pulih.

Di MELAKA, mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,105 orang daripada 283 keluarga setakat pukul 8 pagi ini, berbanding 932 mangsa daripada 249 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Qudra berkata jumlah PPS di tiga daerah masih kekal 12 buah setakat ini.

Beliau berkata Melaka Tengah mencatat jumlah mangsa paling ramai membabitkan 718 orang daripada 173 keluarga di enam PPS.

Antara PPS dibuka di daerah tersebut ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, SK Krubong, SK Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

Di daerah Alor Gajah pula seramai 121 mangsa daripada 38 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan SK Telok Berembang, manakala di Jasin, seramai 266 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SMK Seri Bemban, SK Tehel dan SJKC Shuh Yen.

Beliau berkata lokasi terjejas banjir di Melaka Tengah antaranya Sungai Putat, Bukit Beruang, Malim Permai, Desa Duyong, Ayer Keroh, Taman Rambai Jaya, Kampung Sungai Badau, Bakar Batu, Balai Panjang, Kampung Kolam, Kampung Morten dan Tengkera.

Katanya bagi Alor Gajah, ia melibatkan kawasan antaranya Kampung Dalong, Kampung Danun, Parit Melana, Kampung Padang Keladi, Durian Daun dan Bukit Balai manakala di Jasin, lokasi terjejas antaranya Pekan Merlimau, Jasin Bestari, Asam Kumbang, Lubuk Kasau dan Tehel.

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata setakat 8 pagi tadi keadaan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di negeri ini semakin pulih.

“Keadaan banjir semakin baik dan mengikut rekod yang kita peroleh, terdapat tujuh pusat pemindahan di Sepang yang melibatkan 69 keluarga dengan 279 mangsa,” katanya kepada Bernama.

Norazam berkata pihak berkuasa akan membenarkan mangsa banjir di PPS pulang jika keadaan selamat dan semakin baik.

– BERNAMA