Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan 2022 diharap tidak kurang peruntukan kebajikan rakyat

SHAH ALAM, 29 OKT: Belanjawan 2022 diharap tidak mengurangkan peruntukan sedia ada untuk kebajikan rakyat, kata EXCO pembangunan sosio-ekonomi.

V Ganabatirau berkata Kerajaan Negeri merupakan tongkat rakyat yang kini mengalami kemerosotan ekonomi akibat dibuang kerja dan pendapatan berkurangan.

“Program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Bantuan Bina Dan Baiki Rumah (Kerajaan Prihatin) perlu dikekalkan dan jika dipotong mengganggu perancangan dalam 2022.

“Kita menyokong belanjawan ke arah pemulihan ekonomi tetapi berharap peruntukan sedia ada dikekalkan dan membuktikan Selangor kekal menjadi negeri berkebajikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) di Bukit Kemuning hari ini.

Pada 8 Oktober lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi sesi taklimat Belanjawan 2022 memaklumkan semua Ahli Dewan Undangan (ADN) dan pimpinan komuniti Selangor terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022.

Pembentangan Belanjawan Selangor akan dilaksanakan pada 26 November dan dibahas dalam tempoh seminggu sebelum diluluskan pada Disember.