Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2022: Pertimbang dana naik taraf jalan raya, tebatan banjir

KLANG, 28 OKT: Kerajaan Negeri berharap Belanjawan 2022 peringkat persekutuan yang dibentangkan esok dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara perkara yang wajar diberi tumpuan adalah berkaitan infrastuktur khususnya jalan raya dan projek tebatan banjir

“Kita berharap beberapa syarat Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membiayai kerja penyelenggaraan jalan dapat dilonggarkan.

“Kalau diberi kelonggaran dan dipermudahkan syarat-syarat itu, saya percaya banyak isu dapat diselesaikan seperti jalan berlubang yang memerlukan peningkatan dari segi kualiti dan bahan digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan inisiatif Selangor Freelance di Hotel Wyndham Acmar di sini, hari ini.

Berhubung projek tebatan banjir, Amirudin berkata pihaknya sebelum ini memohon kepada kerajaan persekutuan peruntukan RM1.3 bilion bagi tujuan tersebut.

“Saya percaya projek tebatan banjir dapat dibuat secara sekali gus atau berperingkat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta kerajaan persekutuan mempertimbangkan pemberian insentif kepada penggiat pelancongan yang terkesan akibat pandemik untuk merancakkan kembali sektor tersebut.