Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO PBT SELANGOR

Dana RM250,000 bantu 50 kebun komuniti, galak penduduk usahakan tanaman

KAJANG, 8 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sejumlah RM250,000 untuk kemajuan 50 kebun komuniti sebagai usaha menggalakkan orang ramai mengusahakan pelbagai jenis tanaman.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) memilih empat kebun komuniti untuk diberi bantuan masing-masing sebanyak RM5,000.

“Kebun komuniti yang menerima bantuan ini dipilih berdasarkan usaha dan aktifnya penduduk mengusahakannya.

“Inisiatif ini bertujuan memberi sokongan kepada penduduk mengusahakan kebun komuniti yang dibawah pengurusan PBT,” katanya selepas melawat Kebun Komuniti S8 Prima Bandar Baru Bangi di sini semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar.

Izham berkata, bantuan di bawah Pakej Kita Selangor tersebut diberikan sebagai permulaan dan pihaknya bercadang menambah jumlah penerima pada masa akan datang.

Sementara itu wakil pengusaha Kebun Komuniti S8 Prima Abdul Rafar Rahaman berkata kebun tersebut diusahakan pada tahun lalu bersama 100 penduduk.

“Pada awalnya agak sukar tetapi dengan bantuan EXCO dan PBT kami dapat menjayakannya. Semua hasil tanaman dijual kepada penduduk setiap bulan.

“Harga jualan lebih murah lebih 20 peratus berbanding di pasaran. Contohnya harga sawi bunga di pasaran RM12 sekilogram (kg) tetapi kami jual RM8 kg manakala kacang panjang pula RM6 kg berbanding di pasar RM8 kg,” katanya.