Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Denda RM10 juta, penjara buat pelaku jenayah alam sekitar

SHAH ALAM, 20 OKT: Pelaku jenayah pencemaran alam sekitar bakal berdepan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10 juta mulai tahun depan.

Cadangan dibuat melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan, lapor Berita Harian.

Tindakan itu susulan desakan rakyat yang mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah terutama membabitkan pencemaran sungai, kata menteri alam sekitar dan air.

“Insya-Allah, pindaan ini akan dibentangkan pada suku pertama 2022 di Parlimen tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri.

“Doakan agar proses pindaan ini berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Facebook.

Beliau berkata intipati cadangan pindaan fasa 1 membabitkan kenaikan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntuk bagi kesalahan.

Jelasnya, cadangan juga mengenakan hukuman mandatori penjara tidak lebih lima tahun terutama melibatkan kesalahan pencemaran air dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Pada April, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia menggesa kerajaan meminda AKAS 1974 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak yang gagal mengurus bahan buangan mengikut peraturan.