Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Enakmen Penggerak Belia Selangor dibentang dalam sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 25 OKT: Enakmen Penggerak Belia Selangor antara perkara yang akan diusul dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada November ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman berkata tindakan itu bertujuan mewujudkan satu organisasi kukuh bagi mendekati belia dan persatuan belia di Selangor.

“Enakmen Penggerak Belia Selangor akan dibentang dalam sidang dewan negeri November ini, apabila wujudnya enakmen itu maka persatuan belia di negeri ini menjadi badan atau pertubuhan atau organisasi legislatif.

“Saya berharap Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dapat berikan sokongan kepada golongan belia di Selangor bagi memastikan mereka tidak tertinggal dalam pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar kenangan selepas majlis penyerahan watikah kepada ahli Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut merasmikan dan menyerahkan watikah kepada 280 ahli PeBS dan 10 EXCO Jawatankuasa Induk PeBS.

Sementara itu, Khairuddin berkata hampir separuh daripada 6.5 juta penduduk di Selangor terdiri daripada golongan belia sehingga suku tahun kedua 2021.

“Justeru, bagi mengurus penglibatan belia di negeri ini Kerajaan Selangor mewujudkan satu hubungan baik bersama belia dengan mewujudkan PeBS.

“Saya harap dengan pelantikan ini golongan belia dan Kerajaan Negeri dapat menjalin kerjasama baik di samping menjadi PeBS terunggul di Malaysia,” katanya.