Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Sasar turun pengangguran bawah empat peratus

SHAH ALAM, 12 OKT: Kadar pengangguran di Selangor dijangka turun bawah empat peratus pada tahun depan susulan 25,000 peluang pekerjaan bakal diisi menerusi Jelajah Selangor Bekerja 2021.

EXCO pembangunan generasi muda berkata kadar pengangguran direkodkan setakat suku kedua tahun ini pada paras 4.4 peratus bersamaan 165,000 penganggur.

Mohd Khairuddin Othman menjelaskan sektor paling terjejas antaranya teknologi maklumat, pembinaan, perkhidmatan, teknikal dan profesional.

“Kerajaan Negeri melihat pengangguran sebagai satu perkara yang harus diselesaikan, jadi kita akan berusaha capai paras bawah empat peratus sekiranya 25,000 peluang pekerjaan itu dipenuhi.

“Paling penting dalam program Selangor Bekerja, rakyat boleh hadir untuk sesi temu duga dan mereka akan dipadankan dengan pekerjaan,” katanya selepas melancarkan program di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah supaya Kerajaan Negeri memandang serius isu kehilangan pekerjaan golongan belia.

Baginda turut bertitah kadar pengangguran negara meningkat kepada 4.9 peratus pada 2020 berbanding 2019, 3.9 peratus.

DYMM tuanku bertitah walaupun terdapat sedikit pertumbuhan pada awal tahun, namun kadar itu kembali meningkat kepada 4.8 peratus selepas 40,600 individu hilang pekerjaan pada Jun 2021.