Categories
AGENDA NASIONAL

Ganabatirau mohon maaf singgung perasaan kakitangan JPS

SHAH ALAM, 25 OKT: Wakil rakyat Kota Kemuning memohon maaf secara terbuka atas tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)  kelmarin.

V. Ganabatirau mengakui kesilapan itu selepas video beliau tular di laman sosial hingga mengundang kemarahan pelbagai pihak.

“Mungkin saya gagal mengawal kemarahan dan sepatutnya tidak boleh mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan. Dengan itu saya minta maaf secara tulus hati kepada pihak terlibat.

“Saya bukan mahu menunjukkan kuasa atau menjadi hero, namun hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat kawasan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terkilan dengan tindakan EXCO pemberdayaan dan pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin yang disifatkan tidak profesional.

Presiden kesatuan terbabit menyifatkan tindakan itu keterlaluan dan seolah-olah merendahkan penjawat awam yang sedang bertugas.

Ganabatirau turut menjelaskan bahawa beliau tekad menyelesaikan isu banjir di kawasan terbabit selepas menerima aduan daripada penduduk.

“Bayangkan banjir yang melanda kawasan Bukit Naga dan Bukit Rimau Rabu lalu mencapai paras pinggang manakala Taman Sri Muda serta Taman Desa Kemuning pada tahap lutut.

“Situasi ini sudah tentu menambah kebimbangan saya, apatah lagi Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 29 Oktober ini,” katanya.