Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Giat promosi Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu, tawar lokasi cuti menarik

SUBANG JAYA, 5 OKT: Kerajaan Negeri giat mempromosikan kempen pelancongan domestik Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu bagi meningkatkan jumlah kemasukan pelancong.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata inisiatif itu diambil susulan kadar vaksin lengkap dua dos rakyat dewasa dalam negara mencapai 88 peratus setakat semalam.

“Saya berasakan usaha ini adalah langkah tepat bagi menarik minat pelancong dalam negara untuk berkunjung ke Selangor.

“Malah, kempen tersebut menjadi buah mulut orang ramai khususnya pengguna media sosial sejak dilancarkan pada 17 Disember tahun lalu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini hari ini.

Aktres popular Che Puan Juliana Evans dilantik sebagai duta pelancongan Selangor bagi mempromosikan kempen berkenaan.

Beliau berkata antara lokasi pelancongan menarik adalah Air Terjun Lata Medang dan Fraser Valley di Hulu Selangor; Greenhouse D Jeram dan Sembilang Eco Resort (Kuala Selangor); Air Terjun Sungai Lepoh dan Kolam Air Panas Sungai Serai (Hulu Langat) serta Kelong Paradise dan Sungai Limau Resort (Sabak Bernam).

Maklumnya, pelancong juga boleh berkunjung di Rubinga Heritage dan Golek Golek Suasana Kampung (Gombak); Ladang Buah Naga (Sepang), Pantai Batu Laut (Kuala Langat), Mural Safari (Klang) dan Taman Persahabatan Selangor-Jepun (Petaling).

Sementara itu, Loy Sian berkata jumlah ketibaan pelancong ke Selangor dijangka mengalami penurunan tahun ini berikutan sekatan rentas negeri yang masih berkuat kuasa.

Beliau turut menjelaskan prestasi kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini tahun lalu susut kepada 3.34 juta berbanding 7.62 juta pada 2019 ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 1 Oktober.

Peralihan fasa memberi kelonggaran kepada rakyat yang mendapat suntikan dua dos vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.