Categories
PBT SELANGOR

Hampir 100 peratus warga kerja MBSJ lengkap vaksin

SHAH ALAM, 28 OKT: Seramai 1,500 atau 99.21 peratus kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19.

Datuk Bandarnya Noraini Roslan berkata manakala 1,509 atau 99.80 peratus warga kerja pihak berkuasa tempatan itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Meskipun kebanyakan daripada kita lengkap divaksinasi ingin saya mengingatkan untuk terus mematuhi SOP (tatacara operasi piawai).

“Elakkan tempat sesak, sempit dan sembang dekat, kerapkan amalan mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka, tidak bersalaman serta memeriksa suhu badan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh MBSJ Bil 11/2021 yang bersiaran secara langsung di Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya semalam.

Pada masa sama, Noraini berkata sebanyak 258 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan kakitangan MBSJ sejak pandemik menular sehingga 23 Oktober.

“Bagaimanapun, tiada kes aktif Covid-19 berlaku dalam kalangan warga kerja MBSJ setakat ini,” katanya.