Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 2.1 peratus kes baharu Covid-19 babit kategori tiga hingga lima

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Sebanyak 2.1 peratus atau 206 daripada 9,751 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan setakat 12 tengah hari ini adalah daripada Kategori Tiga, Empat dan Lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan baki 9,545 kes atau 97.9 peratus lagi terdiri daripada individu dalam Kategori Satu dan Dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, empat memerlukan bantuan oksigen dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, 9,736 adalah kes tempatan melibatkan 9,118 warganegara dan 618 bukan warganegara manakala 15 kes adalah kes import membabitkan 11 warganegara dan empat bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 12,724 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes pulih daripada wabak itu kini 2,170,289.

Dr Noor Hisham berkata 792 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 386 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan 10 kluster baharu dikenal pasti merangkumi enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi serta kluster pendidikan tinggi.

Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) untuk Malaysia semalam adalah 0.86 dengan Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.11, diikuti Perlis (1.07) manakala negeri lain di bawah paras 1.0.

Selain itu, beliau berkata data kematian dan data lain bagi situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman GitHub dan laman web Covidnow di https://covidnow.moh.gov.my .

– BERNAMA