Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN gesa Belanjawan 2022 turut tumpu soal ketirisan bantuan, kemiskinan rakyat

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 27 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Belanjawan 2022 yang dibentangkan Jumaat ini turut menekankan soal menangani ketirisan selain ketelusan dalam tadbir urus serta pemberian bantuan kepada rakyat.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata soal berkenaan wajar menjadi perkara asas yang perlu diberi perhatian kerajaan.

“Saya beri contoh minyak masak, membantu nelayan dan orang miskin. Minyak masak memang semua orang sokong, cadangan yang baik dapat pahala tapi balanya ialah kerana ada ketirisan yang mencecah RM200 juta. Jadi atas nama membantu rakyat, rompakan berlaku.

“Satu contoh lain dibangkitkan baru-baru ini, tentang penswastaan kontrak keselamatan sekolah, bila dibuat kajian berdasarkan kontrak yang diperolehi, menyebabkan beban kerajaan yang tidak sepatutnya mencecah RM200 juta.

“Maknanya kalau diswastakan dengan cara lebih teratur, ia akan menyelamatkan dana RM200 juta,” katanya pada sesi pembentangan Bajet HARAPAN kepada media di Kompleks Parlimen hari ini serta turut disiar langsung menerusi Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata soal ketirisan dan tata kelola akan dipantau dalam mesyuarat Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

“Perkara ini dipersetujui tapi saya tidak tahu setakat mana, perbelanjaan itu boleh diumumkan.

“Tetapi bagaimana nak pantau kerana ketua audit negara tiap tahun menyebut tentang kelemahan-kelemahan ini tetapi terus berulang,” katanya.

Tambah Anwar antara cadangan lain termasuk menangani kelompongan dalam tindakan menangani ekonomi akibat pandemik Covid-19 termasuk peruntukan untuk memacu kembali kegiatan industri kecil dan sederhana (IKS).

“Begitu juga kelemahan selama berdekad menangani masalah kemiskinan dan kesenjangan, maka diusulkan Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) untuk mengukur kemiskinan.

“Kita mahu hal ini diambil kira supaya lebih berkesan dalam menanganinya, bukan menyebabkan ada sindrom kebergantungan sehingga tidak melepaskan mereka daripada kemiskinan,” katanya.