Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN tetap buat persediaan walau pilihan raya Melaka ‘bukan masa sesuai’

SHAH ALAM, 18 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) sedia berdepan pilihan raya negeri (PRN) Melaka walaupun situasi ketika ini bukan tempoh yang sesuai.

Majlis Presiden berkata pihaknya risau jika pilihan raya itu menjadi punca gelombang keempat Covid-19 memandangkan ketika ini sektor ekonomi baru bermula selepas wabak menunjukkan trend penurunan.

“Kami turut risau jika PRN diteruskan, tatacara operasi piawai (SOP) berkempan yang diguna pakai mungkin mewujudkan keadaan tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

“Majlis presiden kurang bersetuju dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berhubung PRN Melaka. Bagaimanapun HARAPAN akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapinya,” katanya menerusi kenyataan.

Kenyataan dibuat bersama oleh Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Marius Tangau.

HARAPAN turut melahirkan kekesalan berhubung kenyataan Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh bahawa hanya pengundi lengkap vaksinasi dibenarkan mengundi seperti dilaporkan media.

Jelasnya, tindakan berkenaan berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.

“HARAPAN menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua namun ia tidak boleh dijadikan alasan melaksanakan diskriminasi terhadap mereka yang belum lengkap dua dos.

“Tindakan ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang. Kami menggesa SPR mengkaji semula pendirian ini untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan boleh keluar mengundi,” katanya.

Majlis berkata Pengerusi HARAPAN Melaka yang juga bekas ketua menteri Adly Zahari akan memfailkan injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada Rabu ini.

Minggu lalu, HARAPAN menolak pembubaran DUN Melaka sebagai tidak berperlembagaan ketika negeri itu masih berdepan wabak Covid-19.