Categories
PBT SELANGOR

Hulu Selangor bandar mampan dan berdaya huni menjelang 2035

SHAH ALAM, 21 OKT: Enam inisiatif utama digariskan untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai bandar mampan dan berdaya huni menjelang 2035.

Usaha merangkumi pengekalan sumber semulajadi warisan dalam aktiviti perindustrian, pertanian dan pelancongan, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Mohd Hasry Nor Mohd menjelaskan persekitaran komuniti lestari juga diberi penekanan melalui penyediaan kemudahan asas mencukupi selain memulihara kawasan pembangunan terbiar.

“Selain itu, penerapan konsep pembangunan pintar seperti ekonomi pintar, persekitaran pintar, rakyat pintar, kehidupan pintar, mobiliti pintar dan pentadbiran pintar selaras aspirasi Selangor negeri pintar,” katanya.

Beliau bercakap sempena majlis menjunjung titah Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi pengisytiharan Majlis Daerah Hulu Selangor sebagai perbandaran hari ini.

Inisiatif keempat kata Mohd Hasry menumpukan sistem perhubungan jalan raya dan infrastruktur bagi memudahkan aktiviti berkaitan logistik selain utiliti menyokong pembangunan revolusi industri 4.0 serta pertanian bernilai tinggi.

Menurutnya, tawaran pakej pelaburan menarik pula bakal menyediakan perkhidmatan mesra pelabur bagi menjana ekonomi yang mampu membuka peluang pekerjaan.

“Inisiatif pembangunan modal insan efektif dan berdaya saing bagi menerapkan budaya inovasi termasuk keusahawanan, memajukan diri, meningkatkan kemahiran, menambah ilmu serta mempunyai tadbir urus efisien,” katanya.