Categories
AGENSI SELANGOR

Ibu bapa digesa manfaat rebat pengangkutan, bawa anak ke pusat vaksin

KLANG, 11 OKT: Golongan ibu bapa di negeri ini digesa memanfaatkan rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk membawa anak berusia 12 hingga 17 tahun menerima suntikan pelalian Covid-19.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata rebat RM20 bagi perjalanan pergi dan balik menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab boleh dipohon sehingga 30 November ini.

Ahmad Azri Zainal Nor menjelaskan kira-kira 100 permohonan diterima sejak inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu diperluaskan kepada remaja di Selangor.

“Masih banyak peruntukan untuk kemudahan ini dan saya minta ibu bapa tidak melepaskan peluang diberikan. Kalau ada tiga anak (layak divaksin), mereka boleh mohon banyak kali,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan pek makanan tengah hari kepada petugas di PPV Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi di sini hari ini.

Sebelum ini inisiatif itu dikhususkan kepada penduduk Selangor berusia 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat itu dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Rebat tersebut sah bagi perjalanan ke PPV seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

Permohonan boleh dibuat melalui pautan
https://rebatpengangkutangrabvaksin.borangmbiselangor.com/.