Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Industri aeroangkasa berkembang, Selangor sasar tumpuan pelabur menjelang 2030

SHAH ALAM, 19 OKT: Industri aeroangkasa diramal berkembang lebih pesat di Selangor menjelang 2030, kata EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ketika ini sebanyak 63 peratus industri aeroangkasa di Malaysia beroperasi di Selangor dan yakin jumlah tersebut terus meningkat.

Dato’ Teng Chang Khim ketika temu bual bersama Media Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 18 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita sasar negeri ini terus jadi tumpuan pelabur menjelang 2030 dan Pelan Tindakan Aeroangkasa yang dikendalikan Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO) memastikan usaha ini berjaya.

“Malah, kita juga yakin penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 pada September ini membuka peluang kepada pemain industri menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang berkaitan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada sesi temubual Sidang Kemuncak Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 dan Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 di pejabatnya di sini semalam.

Pameran julung kali itu bakal berlangsung pada 25 hingga 27 November di Skypark Subang dengan menyasarkan sebanyak 30 pempamer serta 5,000 pelawat.

Pada 18 Mei tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skop utama sektor aeroangkasa adalah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pembuatan; sistem integrasi; kejuruteraan dan reka bentuk serta pendidikan dan latihan.

Menjelang 2030, aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion).

Pemain besar industri antaranya Airbus Helicopters, Execujet Malaysia, Sapura Aero dan Weststar Aviation menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini sebagai pangkalan operasi mereka.