Categories
AGENSI SELANGOR

Insiden cemar air: LUAS keluar dua notis terhadap penternak

SHAH ALAM, 8 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengeluar dua notis pemberitahuan kesalahan (NPK) berhubung insiden pencemaran air di Jalan Sungai Ingat, Kampung Bandar Banting dekat sini.

Agensi tersebut memaklumkan kedua-dua notis itu adalah kesalahan memasukkan bahan pencemar dan aktiviti abstraksi air di Sungai Permatang Pasir melibatkan penternak dalam penternakan lembu serta biri-biri.

“Ia berdasarkan siasatan pada 30 September selepas menerima aduan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Langat dan penternak diarahkan menjalankan penyelenggaraan di tiga kolam kumbahan serta meninggikan ban di antara kolam.

“JPV Kuala Langat juga mengarahkan mereka menggunakan produk ‘Effective Microbes’ (EM) dalam air minuman dan makanan ternakan, kandang ternakan serta kolam kumbahan bagi meningkatkan penguraian sisa seterusnya mengurangkan pencemaran,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook hari ini.

LUAS menjelaskan notis dikeluarkan adalah di bawah Peraturan 6 (1) atas kesalahan memasukkan atau melepaskan Bahan Pencemar daripada Aktiviti Berjadual serta Seksyen 107(b) atas kesalahan menjalankan aktiviti abstraksi air (air permukaan).

Agensi itu memohon orang awam melaporkan segera mengenai sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden tersebut dapat dielakkan.