Categories
AGENSI SELANGOR

Invest Selangor peruntuk RM11 juta jayakan sidang perniagaan 2021

SHAH ALAM, 17 OKT: Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan oleh Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM11 juta untuk keseluruhan pembangunan dan pengurusan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS 2021) yang akan bermula secara hibrid – maya dan fizikal, pada 18 hingga 21 Nov ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hasan Azhari Idris berkata peruntukan itu merangkumi, antaranya pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama dan acara yang diadakan secara serentak pada SIBS 2021.

“Tujuan utama kami menganjurkan SIBS pada tahun ini adalah untuk membantu usahawan dan komuniti perniagaan kita memulakan semula perniagaan dan aktiviti rangkaian mereka selepas kawalan pergerakan selama kira-kira satu setengah tahun.

“Memandangkan Selangor sering dilihat sebagai enjin ekonomi Malaysia, kami berasa perlu untuk memainkan peranan dalam menyediakan peluang seumpama ini kepada mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya, peruntukan itu turut meliputi pengiklanan dan promosi, sewaan dewan besar, dewan persidangan dan pameran dan lain-lain lagi.

Katanya, sidang kemuncak perniagaan serantau itu akan menampilkan lima pameran berlainan dengan lima pengkhususan berbeza dan menurutnya Invest Selangor menjangka kira-kira 500 pempamer akan menyertai pameran tersebut.

Selain itu, beliau berkata Invest Selangor akan menganjurkan tiga persidangan antarabangsa dengan penglibatan sekurang-kurangnya 150 peserta bagi setiap acara.

Selain pameran dan persidangan, Hasan Azhari berkata SIBS 2021 akan turut mengadakan pertandingan chef antarabangsa yang disertai chef daripada Persatuan Chef Profesional, kolej kulinari dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, memandangkan SIBS 2021 adalah acara hibrid, pameran dan persidangan itu akan turut melibatkan wakil maya mereka di portal perniagaan www.selangorbusinesshub.my.

-BERNAMA