Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan salahkan KPM jika guru enggan vaksin dikena tindakan disiplin

JEMPOL, 30 OKT: Guru-Guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang menolak suntikan vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah diminta tidak menyalahkan kerajaan sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata tindakan itu akan dilaksana pada 1 Nov ini dan guru sebagai penjawat awam, tertakluk kepada peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mewajibkan mereka mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum tarikh tersebut.

Beliau berkata setakat hari ini, terdapat kira-kira 2,000 guru di seluruh negara yang masih belum bersedia menerima vaksin Covid-19.

“Justeru, saya merayu kepada guru-guru berkenaan untuk tampil mendapatkan suntikan sebelum kembali ke sekolah, jangan salahkan KPM dan kerajaan sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

“Ini bukan hukuman atau amaran tetapi untuk keselamatan pelajar, jangan sampai ibu bapa hilang keyakinan tentang keselamatan anak di sekolah,” katanya.

Mohamad berkata guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meyakinkan masyarakat bahawa sekolah adalah tempat selamat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kuarters guru Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 7 di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri Palong Mustapha Nagoor.

Mohamad juga berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan permasalahan kuarters guru daif terutama dalam aspek kebersihan dan keselamatan untuk memberi keselesaan kepada golongan pendidik yang mendiaminya.

“… kita tidak mahu perkara itu terus berlarutan. Pihak PPD perlu segera mengangkat permasalahan yang ada untuk dipertimbang kelulusan di peringkat kementerian,” katanya.

-BERNAMA