Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jelajah Selangor Bekerja bantu remaja capai impian cebur bidang automotif

KUALA SELANGOR, 30 OKT: Percubaan pertama seorang remaja menyertai Jelajah Selangor Bekerja menemui kejayaan apabila ditawar sebagai operator pengeluaran di Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton).

Lebih menggembirakan buat Syed Nazrey Syed Hussin, 23, dari Sabak Bernam, pekerjaan ditawar syarikat multinasional itu memenuhi impiannya menceburi bidang automotif.

Lulusan kejuruteraan pertanian yang kini mencari rezeki sebagai pramusaji, beliau gembira kerana hasratnya bekerja dalam bidang selaras kelulusannya tercapai selepas beberapa kali mencuba.

“Ini kali pertama saya sertai Jelajah Selangor Bekerja dan tidak sangka cepat sahaja ditawarkan lebih-lebih dengan syarikat besar seperti Proton.

“Banyak manfaat diberikan seperti gaji menarik, hostel dan latihan untuk kami meningkatkan diri,” katanya ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor di sini, hari ini.

Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Jelajah Selangor Bekerja peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Sebanyak 19 majikan daripada syarikat ternama terlibat meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan aeroangkasa.

Lebih 25,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi enam siri jelajah hingga 27 November depan.