Categories
ADN AGENSI SELANGOR

KDEBWM sumbang sembilan tong sampah untuk penduduk Taman Templer

SHAH ALAM, 5 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbangkan sembilan tong sampah larut di perumahan sekitar Taman Templer yang menghadapi masalah kekurangan tempat pembuangan sampah.

Wakil rakyat Taman Templer Mohd Sany Hamzan berkata tujuh pangsapuri menerima sumbangan itu di Pangsapuri Julia, Selayang Mulia, Prima Selayang, One Selayang, Kota Warisan, Dahlia dan Nuri.

Bantuan turut diberi di Kampung Mahkota dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Selayang Baru.

Mohd Sany berkata kawasan terbabit sebelum ini menghadapi masalah tong sampah tidak mencukupi kerana terpaksa berkongsi dengan penduduk dari luar kawasan.

“Ada orang luar datang buang sampah di kawasan itu sehingga berlaku limpahan menyebabkan keadaan tidak selesa kepada penduduk.

“Jadi kami bangkitkan kepada KDEBWM yang bersetuju sumbang sembilan tong untuk kemudahan penduduk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tong sampah larut itu disampaikan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir di One Selayang.