Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja baiki paip pecah siap, air disalur berperingkat mulai 2.30 petang

SHAH ALAM, 19 OKT: Kerja kecemasan dan pembaikan insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang siap jam 2 petang tadi, empat jam lebih awal daripada sasaran.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air ke 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat disalurkan secara berperingkat mulai jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, bekalan air dijangka pulih jam 10 pagi esok dan tempoh pemulihan di kawasan terbabit berbeza bergantung lokasi serta tekanan air pada sistem agihan.

“Air Selangor terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam syarikat itu memaklumkan berlaku insiden paip pecah berhampiran Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang dan susulan kejadian syarikat menutup bekalan air pada 9 malam tadi bagi membolehkan kerja pembaikan paip berjalan lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat semasa di semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram atau hubungi talian 15300.

Sebarang pertanyaan boleh diaju di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.