Categories
AGENDA NASIONAL

Kes sembuh atasi jangkitan baharu, 98 peratus kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kes sembuh Covid-19 terus mengatasi kes baharu apabila sebanyak 7,297 kes sembuh dicatatkan hari ini berbanding 6,060 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata jumlah kumulatif kes sembuh negara kini mencecah 2,361,919 atau 96 peratus berbanding jumlah kumulatif kes baharu 2,460,809.

“Sebanyak 5,955 kes atau 98.3 peratus daripada 6,060 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini dalam kategori satu dan dua. Sebanyak 105 kes atau 1.7 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham daripada jumlah keseluruhan 6,060 kes baharu Covid-19 hari ini sebanyak 6,047 kes adalah jangkitan tempatan melibatkan 5,759 warganegara dan 288 bukan warganegara manakala sebanyak 13 kes lagi adalah kes import.

Beliau berkata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini adalah 570 kes dan 300 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, sebanyak 11 kluster baharu dikenal pasti hari ini dengan empat daripadanya kluster tempat kerja, pendidikan tinggi (empat), kumpulan berisiko tinggi (satu) dan komuniti (dua).

Menurut Dr Noor Hisham, kes indeks bagi satu daripada kluster komuniti yang dikesan pada hari ini iaitu Kluster Jalan Parit Lapan di Selangor adalah seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia berusia setahun hasil saringan individu bergejala.

Kes mula bergejala pada 16 Okt, setakat ini 16 kes positif dikenal pasti dari kluster berkenaan hasil saringan 32 individu, katanya.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata nilai Rt negara kini adalah pada 0.95 dengan Negeri Sembilan mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.04 dan Labuan merekodkan nilai sifar.

Beliau berkata maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Data akan dikemaskini pada 12 tengah malam setiap hari, katanya.

-BERNAMA