Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP rampas 2,797 mesin penapis air, periuk tekanan bernilai RM7.5 juta

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyita 2,797 unit pelbagai jenis mesin penapis air dan periuk tekanan bernilai RM7.5 juta kerana disyaki disimpan dan dijual tanpa mendapat kelulusan, Khamis lepas.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata semua barangan itu yang dirampas di sebuah gudang di Taman Perindustrian Subang, di sini disimpan dan dijual oleh sebuah syarikat jualan langsung terkenal namun produk terbabit tidak ada dalam senarai barangan yang telah diluluskan oleh kementerian.

Beliau berkata lesen syarikat terbabit sah hingga 2023 tetapi barangan yang dijual (iaitu barang yang disita) belum mendapat kelulusan daripada KPDNHEP.

“Syarikat terbabit ada 21 barangan yang diluluskan untuk dijual namun produk ini telah dijual secara tidak sah kerana tidak disenaraikan dalam permohonan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ariffin berkata sebagai sebuah syarikat jualan langsung, setiap barang yang hendak dijual perlu mendapat kelulusan Ketua Setiausaha KPDNHEP yang berperanan sebagai pengawal jualan langsung.

“Mengikut seksyen itu, mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen telah melakukan suatu kesalahan dan boleh disabitkan mengikut Seksyen 39(2) Penalti Am dalam akta yang sama iaitu mana-mana pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan yang melakukan kesalahan di bawah akta ini.

Beliau berkata syarikat perlu mendapatkan kebenaran daripada pengawal jualan langsung jika mereka ingin mengubah atau menambah produk dalam senarai 21 barangan yang diluluskan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(4) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 iaitu pemegang lesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat lesen yang dikenakan oleh pengawal KPDNHEP adalah melakukan suatu kesalahan.

– BERNAMA