Categories
AGENDA NASIONAL

KPM pastikan pemeriksaan haid secara fizikal tidak berulang

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dakwaan berhubung terdapat amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan pelajar perempuan di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya komited dalam memastikan amalan itu tidak berulang, sekiranya ia benar wujud di mana-mana institusi KPM.

“Sejurus tiba dari Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), saya terus ke sebuah sekolah di Setapak, Kuala Lumpur bagi mendapatkan maklumat berhubung dakwaan berlaku amalan pemeriksaan haid secara fizikal dalam kalangan murid perempuan.

“Kedatangan saya adalah untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas secara terus daripada murid di sekolah berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Radzi berkata kedatangan beliau yang disertai Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, juga bertujuan mendengar penjelasan daripada pengetua dan guru sekolah.

“Kami akan perhalusi perkara-perkara yang dimaklumkan semasa perjumpaan sebentar tadi (malam tadi). KPM sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa di sekolah dan asrama. Ini bagi mewujudkan sekolah yang sejahtera untuk semua,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna menerusi ciapan di Twitter mendakwa seorang pelajar memberitahunya bahawa dia bersama kira-kira 30 pelajar lain berusia antara 18 dan 19 tahun telah dikumpulkan di sebuah kolej kira-kira pukul 7.50 malam pada 18 Okt lalu bagi menjalani pemeriksaan untuk membuktikan mereka sedang dalam haid.

– BERNAMA