Categories
AGENDA NASIONAL

Kualiti air ikut piawaian, negeri pastikan rakyat dapat bekalan bersih

PELABUHAN KLANG, 29 OKT: Kerajaan Negeri tidak berkompromi dengan tahap kualiti air jika tidak menepati piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam berkata Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) Sdn Bhd akan memastikan air yang dirawat dan disalurkan kepada pengguna benar-benar bersih.

Menurut Ir Izham Hashim teknologi ozon yang diguna bagi merawat air mentah dari Sungai Klang di Skim Bekalan Air Rasau juga disifatkan amat canggih dan mahal.

“Saya sendiri sudah melihat teknologi itu yang sangat bagus dan mampu merawat, membersihkan air serta menghilangkan bau…Ia akan digunakan untuk loji rawatan air.

“Teknologi ozon agak mahal dan sudah digunakan secara meluas di Amerika Syarikat… Di Malaysia pula Air Selangor merupakan perintis dalam menggunakan teknologi ini,” katanya selepas membuat lawatan tapak ke Taman Mangrove Point di sini semalam.

Menerusi Facebook Air Selangor, agensi itu mengambil inisiatif membuat kajian mengguna sistem ozon bagi merawat bahan pencemar yang dikenal pasti di Sungai Klang dan kolam air Rasau.

Agensi itu memaklumkan kajian bertujuan mengenal pasti kemampuan teknologi ozon bagi merawat bahan organik dan logam yang terdapat dalam sumber air mentah.

“Kajian ini dilakukan dengan kerjasama syarikat antarabangsa Veolia Water Technologies yang mempunyai kepakaran dalam penyelesaian teknologi rawatan air dan sisa kumbahan.

“Hasil kajian menunjukkan pengurangan ketara bahan pencemar seperti logam, serta bahan organik yang terdapat dalam Sungai Klang dan kolam Rasau,” kata kenyataan itu.