Categories
ADN SELANGOR

Lebih 90 peratus penduduk Tanjung Sepat lengkap dos vaksin

TANJUNG SEPAT, 31 OKT: Lebih 90 peratus penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat lengkap menerima suntikan pelalian.

Wakil rakyat Borhan Aman Shah berkata penduduk yang lengkap dua dos suntikan turut melibatkan masyarakat Orang Asli.

“Majoriti penduduk memberi kerjasama dan bagi penduduk yang uzur juga sudah divaksin dengan menghantar petugas kesihatan ke rumah mereka.

“Buat masa ini, kita memfokuskan vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun,” katanya pada Program Batik Plogging (pembersihan pantai) di Pantai Batu Laut hari ini.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax bagi melengkapkan dan mempercepat pemberian vaksin rakyat.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Program Selvax Komuniti diberi secara percuma dapat memanfaatkan 250,000 penduduk Selangor khususnya warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) membabitkan 500,000 dos.