Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 9,000 kunjungi Selangor Fruit Valley sejak dibuka September

SHAH ALAM, 26 OKT: Seramai 9,698 pengunjung melawat Selangor Fruit Valley (SFV) sejak mula beroperasi pada 15 September sehingga Ahad lalu.

Pengurus Pemasaran Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata secara keseluruhan pengunjung yang hadir pada September ialah 2,744 orang manakala Oktober sehingga kelmarin seramai 6,954 orang.

“Setakat ini rekod tertinggi pengunjung harian adalah pada 17 Oktober lalu iaitu seramai 866 pengunjung.

“Istimewa pada sesi operasi pembukaan ini, kita memberikan buah potong kepada setiap pengunjung yang hadir sehingga akhir tahun selain membuka satu bufet buah-buahan kepada orang ramai,” katanya kepada SelangorKini.

SFV dibuka secara rasmi pada 15 September sebelum ditutup sementara operasi bermula 25 September sehingga 1 Oktober bagi memberi laluan kerja berkaitan.

Harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala tiket dewasa  warga asing berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.