Categories
AGENDA NASIONAL

Leka rai hari jadi di pusat hiburan, 73 didenda RM365,000

SHAH ALAM, 20 OKT: Seramai 73 pengunjung termasuk 20 wanita dikompaun RM365,000 ketika leka menyambut parti hari jadi di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, tengah malam tadi.

Denda RM5,000 setiap seorang dikeluarkan terhadap pengunjung berusia antara 20 hingga 37 tahun berikutan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Turut ditahan enam wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) bersama seorang pengurus premis yang turut dikompaun RM50,000, kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

“Lelaki dan GRO berkenaan masing-masing direman sehari dan 14 hari mulai hari ini,” kata Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

Ia turut disiasat bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Imigresen.