Categories
ADN SELANGOR

Libat urus pembangkang beri nilai tambah belanjawan negeri

SHAH ALAM, 24 OKT: Sesi libat urus memberi peluang kepada wakil rakyat pembangkang menyuarakan pandangan bagi menambah baik intipati Belanjawan Selangor 2022.

Menyambut baik penglibatan itu, Ahli Dewan Negeri Sijangkang berkata idea yang dikongsi mampu memberi nilai tambah terhadap pembangunan yang memanfaatkan rakyat negeri ini.

“Kadangkala, apa yang dicadangkan pembangkang dalam perbahasan amat baik, rugi jika tidak dipertimbang. Perbincangan berkait pembangunan harus dibuat bersama, ” kata Dato’ Dr Ahmad Yunos Hairi ketika dihubungi.

Beliau berkata pembangunan pesisir pantai Sungai Klang yang pernah dirancang pemerintah terdahulu antara cadangan untuk dimasukkan dalam belanjawan negeri pada 26 November.

“Mungkin mulai tahun depan perlu difikirkan semula pembangunan pesisir Sungai Klang kerana kita lihat ia bakal memberi impak kewangan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Selain itu, Dr Ahmad Yunos turut mencadangkan Kerajaan Negeri menumpukan pembangunan masyarakat Orang Asli terutama dari aspek pendidikan dan sosioekonomi.

Beliau juga mahu wakil rakyat kerajaan dan pembangkang diberi peruntukan munasabah bagi memenuhi keperluan rakyat negeri ini.

Pada 15 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan sesi libat urus Belanjawan Selangor 2022 bersama wakil rakyat pembangkang dan bebas.

Selain Dr Ahmad Yunos, perbincangan turut disertai ADN Kuang Sallehuddin Aminuddin, ADN Teratai Lai Wai Chong dan wakil ketua pembangkang Mohd Zaim Tawfek.

Pada 8 Oktober, Amirudin berkata semua ADN terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022 yang diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.