Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Little India di Klang kembali meriah, sambutan Deepavali makin terasa

KLANG, 25 OKT: Little India di Jalan Tengku Kelana yang menjadi tumpuan penganut Hindu membeli-belah ketika Deepavali kembali meriah tahun ini selepas beberapa kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan.

Rata-rata pengunjung mendapatkan pakaian tradisi Sari dan Dhoti masing-masing serta kuih seperti muruku serta manisan bagi memastikan semua keperluan lengkap.

Ketua Pegawai Pemasaran Harekrishna Silk, S Gaithri

Ketua Pegawai Pemasaran Harekrishna Silk S Gaithri berkata pelanggan mula membanjiri kedainya sejak beberapa minggu lalu bagi mencari pakaian bersesuaian untuk digayakan di pagi raya.

Beliau berkata pelanggan bukan hanya datang dari sekitar Selangor malah negeri lain selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.

“Sini memang menjadi tumpuan kaum Hindu membuat persiapan. Tahun ini semua mahu buat persiapan selengkapnya memandangkan tahun lepas hanya sambut ala kadar.

“Bagi memastikan semua dapat meraikan kemeriahan Deepavali, tahun ini kami tawarkan harga pakaian lebih rendah. Kami faham Covid-19 menyebabkan ramai yang terkesan,” katanya ditemui hari ini.

Pegawai Jualan dan Pemasaran Super Win Sdn Bhd J Harikrishnan berkata syarikatnya terpaksa menambah bekalan beras basmathi dan ponni selepas mendapat sambutan memberangsangkan.

Pegawai Jualan dan Pemasaran Super Win Sdn Bhd, J Harikrishnan

“Beras ini sesuai untuk masakan Briyani. Ramai pelanggan mahu hidangkan juadah itu ketika Deepavali. Jadi kami terpaksa menambah lebih banyak bekalan,” katanya.

Sementara itu peniaga manisan S Subramanian berkata premisnya Archana Curry House akan menjual 2,000 hingga 3,000 biji manisan sehari mulai minggu depan.

“Kita jual 15 hingga 20 jenis manisan. Sekarang 200 hingga 300 sahaja. Kita tak boleh jual jumlah yang banyak kerana manisan hanya bertahan seminggu.

“Manisan yang menjadi pilihan antaranya laddu, jilebi dan halwa. Bagaimanapun jumlah jualan tahun ini tidak seperti sebelum ini kerana risau tiada pelanggan,”katanya.

Sambutan Deepavali tahun lalu disambut suram selepas kerajaan mengumumkan larangan pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pemilik Archana Curry House, S Subramanian

Upacara keagamaan hanya dibenarkan pada hari pertama sambutan dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKPB.

Aktiviti ziarah pula maksimum 20 orang terdiri daripada keluarga terdekat bagi kediaman bertanah sementara strata tidak boleh melebihi 10 orang.