Categories
SELANGOR

Little India Klang jadi pilihan, semua kelengkapan mudah didapati

KLANG, 25 OKT: Little India di Jalan Tengku Kelana menjadi pilihan penganut Hindu mendapatkan segala kelengkapan sempena sambutan Deepavali minggu depan.

Pegawai tadbir diplomatik Kementerian Kewangan Haneeta Kaur berkata walaupun tinggal di Putrajaya dia sanggup mengambil cuti untuk membawa keluarga membeli-belah di situ.

“Di sini semuanya lengkap. Dari pakaian, perhiasan dan kuih ada dijual. Tambahan saya datang hari biasa jadi tidak perlu bersesak.

Haneeta kaur, 35

“Saya memang ambil cuti hari ini untuk pastikan Deepavali tahun ini disambut meriah. Tahun lalu kita tidak dapat beraya sangat kerana pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu K Gunasegaran, 45, berkata hanya biskut serta manisan belum dibeli dan menunggu minggu hadapan untuk mendapatkannya.

“Dua tiga hari sebelum raya saya akan datang semula ke sini. Nanti lagi banyak pilihan yang ada dan tawaran lebih menarik.

“Pengunjung juga pasti ramai jadi semua kena patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan jaga jarak masing-masing,” katanya.

Bagi K Pameela, 25, dia menggunakan waktu rehat syarikatnya dari jam 1 hingga 2 patang untuk datang membeli Sari memandangkan semua ahli keluarga sudah menyediakan pakaian.

K Gunasegaran, 45

“Hari biasa tak ramai orang membeli barang. Jadi senang nak pilih berbanding hari minggu. Pejabat juga tidak jauh jadi memudahkan urusan saya,” katanya.

Tahun ini kawasan itu kembali meriah dan menjadi tumpuan penganut Hindu membeli belah sempena Deepavali selepas beberapa kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan.