Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Longgar SOP, rancakkan kembali sektor pelancongan

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) bagi kuarantin wajib dan pergerakan ke luar dan dalam negara berkuat kuasa 18 Okt menjadi pemangkin utama dalam merancakkan semula sektor pelancongan negara.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATTA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata kelonggaran SOP yang diberikan kerajaan memberi kebaikan kepada semua pihak khususnya kepada sektor pelancongan di samping memudahkan pelancong.

“Dengan adanya kelonggaran SOP ini bermakna kita sudah bersedia dan matang terhadap SOP yang kita laksanakan. Kelonggaran ini penting bagi merancakkan semula sektor pelancongan kerana apabila pelancong masuk ke negara ini mereka membawa wang bersama mereka untuk dibelanjakan.”

“Kita perlu mengikut jejak negara-negara maju yang membenarkan sektor pelancongan mereka beroperasi semula supaya kita tidak ketinggalan dari aspek ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Rakaman gambar Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur diserikan dengan lampu bertemakan warna Jalur Gemilang ketika tinjauan sempena malam ambang sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 di sekitar ibu kota pada 30 Ogos 2021. Foto BERNAMA

Mohd Khalid juga menggalakkan orang ramai untuk pergi bercuti sama ada di dalam mahupun di luar negara namun mengingatkan pelancong agar sentiasa mematuhi SOP di setiap tempat yang dikunjungi.

“Saya menggalakkan semua untuk pergi bercuti kerana keadaan sekarang sudah mengizinkan. Tetapi sambil bercuti kita harus beringat, sentiasa patuhi SOP telah ditetapkan. Misalnya seperti umrah, SOP di Malaysia berbeza dengan SOP dalam kapal terbang dan di Jeddah, Arab Saudi. Sekiranya kita di dalam kapal terbang, patuh SOP dalam kapal terbang, sekiranya di Jeddah kita perlu patuh pada SOP di sana,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan semula industri pelancongan ini memberi kebaikan kepada pelbagai sektor lain seperti sektor penerbangan, perniagaan kecil, perkhidmatan dan ekonomi setempat yang telah sekian lama terjejas akibat Covid-19.

Pengurus Kanan Tourism Melaka Asmaliana Ashari berkata kelonggaran SOP tersebut adalah keperluan dan idea yang baik oleh pihak kerajaan untuk menghidupkan semula sektor pelancongan.

“Kelonggaran dari segi rentas negeri, kemasukan pelancong asing dan pengurangan tempoh kuarantin wajib yang diberikan oleh pihak kerajaan itu adalah satu idea yang sangat baik. Ia memudahkan perjalanan pergi dan balik para pelancong di dalam mahupun ke luar negara.

“Banyak sektor yang terjejas antaranya sektor kraftangan, perniagaan, perhotelan bahkan pengayuh beca juga terkesan akibat pandemik ini,” katanya.

Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI

Beliau berkata setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama sekali dengan adanya varian baharu yang membimbangkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata langkah kerajaan untuk mengurangkan tempoh kuarantin wajib boleh diterima pakai berdasarkan kajian terkini di dalam dan luar negara mengikut ciri-ciri tempoh jangkitan virus itu.

“Kalau ikut dapatan terkini, tempoh jangkitan itu dalam masa satu minggu hingga 10 hari kebanyakannya, jadi kalau tiada apa-apa gejala, tempoh 10 hari itu cukup,” katanya.

Katanya, mengikut keadaan semasa, liputan vaksinasi di negara telah mencapai 91.4 peratus populasi dewasa adalah di tahap tinggi selain kebanyakan kes aktif tidak serius dan ketiadaan varian baharu yang ganas.

Selain itu, beliau menggalakkan rakyat Malaysia yang bercadang untuk melancong ke luar negara agar mengambil insuran kesihatan bagi memastikan keselamatan di luar negara serta mengambil tahu tentang kemudahan kesihatan dan hospital sesuai untuk pelancong.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pengurangan Tempoh Kuarantin Wajib Pengembara dari luar negara serta Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat berkuat kuasa 18 Okt.

Pengumuman itu membolehkan individu telah lengkap vaksinasi Covid-19 menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari manakala mereka yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19 perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

-BERNAMA